Kita hidup kerana-Nya melalui satu ‘peristiwa’ yg sama…
“Syurga yang serba nikmat…Segala kesenangan ada di dalamnya. Semua tersedia apa saja
yang diinginkan, tanpa bersusah payah memperolehinya. Sungguh suatu
tempat yang amat indah dan permai, menjadi idaman setiap insan.
Demikianlah menurut riwayat, tatkala Allah SWT. selesai mencipta alam
semesta dan makhluk-makhluk lainnya, maka dicipta-Nya pula Adam
alaihissalam sebagai manusia pertama. Hamba yang dimuliakan itu
ditempatkan Allah SWT di dalam Syurga (Jannah).
Adam a.s hidup sendirian dan sebatang kara,
tanpa mempunyai seorang kawan pun. Ia berjalan ke kiri dan ke kanan,
menghadap ke langit-langit yang tinggi, ke bumi terhampar jauh di
seberang, maka tiadalah sesuatu yang dilihatnya dari
mahkluk sejenisnya kecuali burung-burung yang berterbangan ke sana ke
mari, sambil berkejar-kejaran di angkasa bebas, bernyanyi-nyanyi,
bersiul-siul, seolah-olah mempamerkan kemesraan.
Adam a.s terpikat
melihatnya, rindu berkeadaan demikian. Tetapi sungguh malang, siapalah
gerangan kawan yang hendak diajak. Ia merasa kesepian, lama sudah. Ia
tinggal di syurga bagai orang kebingungan, tiada pasangan yang akan
dibujuk bermesra sebagaimana burung-burung yang dilihatnya.
Tiada pekerjaan sehari-hari kecuali bermalas-malas begitu saja,
bersantai berangin-angin di dalam taman syurga yang indah permai, yang
ditumbuhi oleh bermacam bunga-bunga kuntum semerbak yang wangi, yang di
bawahnya mengalir anak-anak sungai bercabang-cabang, yang desiran airnya
bagai mengandung pembangkit rindu.
Adam kesepian
Apa saja di dalam syurga semuanya nikmat! Tetapi apalah erti segalanya kalau hati selalu gelisah resah di dalam kesepian seorang diri?
Itulah
satu-satunya kekurangan yang dirasakan Adam a.s di dalam syurga. Ia
perlu kepada sesuatu, iaitu kepada kawan sejenis yang akan
mendampinginya di dalam kesenangan yang tak terhingga itu. Kadangkala
kalau rindu dendamnya datang, turunlah ia ke bawah pohon-pohon rendang
mencari hiburan, mendengarkan burung-burung bernyanyi bersahut-sahutan,
tetapi aduh hai kasihan…bukannya hati menjadi tenteram, malah menjadi
lebih tertikam. Kalau angin bertiup sepoi-sepoi basah di mana
daun-daunan bergerak lemah gemalai dan mendesirkan suara sayup-sayup,
maka terkesanlah di hatinya keharuan yang begitu mendalam; dirasakannya
sebagai derita batin yang tegak di sebalik nikmat yang dianugerahkan
Tuhan kepadanya.
Tetapi walaupun demikian, agaknya Adam a.s malu mengadukan halnya kepada Allah SWT. Namun, walaupun Adam a.s malu
untuk mengadu, Allah Ta’ala sendiri Maha Tahu serta Maha Melihat apa
yang tersembunyi di kalbu hamba-Nya. Oleh itu Allah Ta’ala ingin
mengusir rasa kesepian Adam.
Hawa diciptakan
Tatkala
Adam a.s sudah berada di puncak kerinduan dan keinginan untuk
mendapatkan kawan, sedang ia lagi duduk terpekur di atas tempat duduk
yang berlapiskan tilam permaidani serba mewah, maka tiba-tiba ngantukpun
datanglah menawannya serta langsung membawanya hanyut ke alam tidur.
Adam
a.s tertidur nyenyak, tak sedar kepada sesuatu yang ada di sekitarnya.
Dalam saat-saat yang demikian itulah Allah SWT menyampaikan wahyu kepada
malaikat Jibril a.s untuk mencabut tulang rusuk Adam a.s dari lambung
sebelah kiri. Bagai orang yang sedang terbius, Adam a.s tidak merasakan
apa-apa ketika tulang rusuknya dicabut oleh malaikat Jibril a.s.
Dan oleh kudrat kuasa Ilahi yang manakala menghendaki terjadinya sesuatu cukup berkata Kun! maka terciptalah Hawa dari
tulang rusuk Adam a.s, sebagai insan kedua penghuni syurga dan sebagai
pelengkap kurnia yang dianugerahkan kepada Adam a.s yang mendambakan
seorang kawan tempat ia boleh bermesra dan bersenda gurau.
Pertemuan Adam dan Hawa
Hawa
duduk bersandar pada bantal lembut di atas tempat duduk megah yang
bertatahkan emas dan permata-permata bermutu manikam, sambil terpesona
memperhatikan kecerahan wajah dari seorang lelaki kacak yang sedang terbaring, tak jauh di depannya.
Butir-butir fikiran yang menggelombang di dalam sanubari Hawa seolah-olah merupakan arus-arus tenaga elektrik
yang datang mengetuk kalbu Adam a.s, yang langsung menerimanya sebagai
mimpi yang berkesan di dalam gambaran jiwanya seketika itu.
Adam
terjaga….! Alangkah terkejutnya ia ketika dilihatnya ada makhluk manusia
seperti dirinya hanya beberapa langkah di hadapannya. Ia seolah tak
percaya pada penglihatannya. Ia masih terbaring mengusap matanya
beberapa kali untuk memastikan apa yang sedang dilihatnya.
Hawa yang diciptakan lengkap dengan perasaan malu,
segera memutar badannya sekadar untuk menyembunyikan bukit-bukit di
dadanya, seraya mengirimkan senyum manis bercampur manja, diiringi
pandangan melirik dari sudut mata yang memberikan sinar harapan bagi hati yang melihatnya.
Memang
dijadikan Hawa dengan bentuk dan paras rupa yang sempurna. Ia dihiasi
dengan kecantikan, kemanisan, keindahan, kejelitaan, kehalusan,
kelemah-lembutan, kasih-sayang, kesucian, keibuan dan segala sifat-sifat
keperibadian yang terpuji di samping bentuk tubuhnya yang mempesona
serta memikat hati setiap yang memandangnya.
Ia adalah wanita
tercantik yang menghiasai syurga, yang kecantikannya itu akan
diwariskan turun temurun di hari kemudian, dan daripadanyalah maka ada
kecantikan yang diwariskan kepada wanita-wanita yang datang dibelakangnya.
Adam
a.s pun tak kurang gagah dan kacaknya. Tidak dijumpai cacat pada
dirinya kerana ia adalah satu-satunya makhluk insan yang dicipta oleh
Allah SWT secara langsung tanpa perantaraan.
Semua kecantikan yang
diperuntukkan bagi lelaki terhimpun padanya. Kecantikan itu pulalah
yang diwariskan turun temurun kepada orang-orang di belakangnya sebagai
anugerah Allah SWT kepada makhluk-Nya yang bergelar manusia. Bahkan
diriwayatkan bahawa kelak semua penduduk syurga akan dibangkitkan dengan
pantulan dari cahaya rupa Adam a.s.
Adam a.s bangkit dari
pembaringannya, memperbaiki duduknya. Ia membuka matanya, memperhatikan
dengan pandangan tajam. Ia sedar bahawa orang asing di depannya itu
bukanlah bayangan selintas pandang, namun benar-benar suatu kenyataan dari
wujud insani yang mempunyai bentuk fizikal seperti dirinya. Ia yakin ia
tidak salah pandang. Ia tahu itu manusia seperti dirinya, yang hanya
berbeza kelaminnya saja. Ia serta merta dapat membuat kesimpulan bahawa
makhluk di depannya adalah perempuan. Ia sedar bahawa itulah dia jenis
yang dirindukannya. Hatinya gembira, bersyukur, bertahmid memuji Zat
Maha Pencipta.
Ia tertawa kepada gadis jelita itu, yang
menyambutnya tersipu-sipu seraya menundukkan kepalanya dengan pandangan
tak langsung, pandangan yang menyingkap apa yang terselit di kalbunya.
Adam terpikat
Adam
terpikat pada rupa Hawa yang jelita, yang bagaikan kejelitaan segala
puteri-puteri yang bermastautin di atas langit atau bidadari-bidadari di
dalam syurga.
Tuhan menanam asmara murni dan hasrat berahi di hati Adam a.s serta menjadikannya orang yang paling asyik dilamun cinta, yang tiada taranya dalam sejarah, iaitu kisah cinta dua insan di dalam syurga. Adam a.s ditakdirkan jatuh cinta kepada puteri yang paling cantik dari segala yang cantik, yang paling jelita dari segala yang jelita, dan yang paling harum dari segala yang harum.
Adam a.s dibisikkan oleh hatinya agar merayu Hawa. Ia berseru: Aduh, hai si jelita, siapakah gerangan kekasih ini? Dari manakah datangmu, dan untuk siapakah engkau disini? Suaranya sopan, lembut, dan penuh kasih sayang.
Aku Hawa, sambutnya ramah. Aku dari Pencipta! suaranya tertegun seketika. Aku….aku.. ..aku, dijadikan untukmu! tekanan suaranya menyakinkan.
Tiada
suara yang seindah dan semerdu itu walaupun berbagai suara merdu dan
indah terdengar setiap saat di dalam syurga. Tetapi suara Hawa….tidak
pernah di dengarnya suara sebegitu indah yang keluar dari bibir mungil si wanita jelita itu. Suaranya membangkit rindu, gerakan tubuhnya menimbulkan semangat.
Kata-kata yang paling
segar didengar Adam a.s ialah tatkala Hawa mengucapkan terputus-putus:
Aku….aku.. ..aku, dijadikan untukmu! Kata-kata itu nikmat, menambah
kemesraan Adam kepada Hawa.
Adam a.s sedar bahawa nikmat itu datang dari Tuhan dan cintapun datang dari Tuhan. Ia tahu bahawa Allah SWT itu cantik, suka kepada kecantikan. Jadi, kalau cinta kepada kecantikan berertilah pula cinta kepada Tuhan. Jadi cinta itu bukan dosa tetapi malah suatu pengabdian. Dengan mengenali cinta, makrifah kepada Tuhan semakin mendalam. Cinta kepada Hawa bererti cinta
kepada Pencipta. Dengan keyakinan demikian Adam a.s menjemput Hawa
dengan berkata: Kekasihku, ke marilah engkau! Suaranya halus, penuh
kemesraan.
Aku malu! balas Hawa seolah-olah menolak. Tangannya,
kepalanya, memberi isyarat menolak seraya memandang Adam dengan penuh
ketakjuban.
Kalau engkau yang inginkan aku, engkaulah yang ke sini! Suaranya yang bagaikan irama seolah-olah memberi harapan.
Adam
tidak ragu-ragu. Ia mengayuh langkah gagah mendatangi Hawa. Maka sejak
itulah teradat sudah bahawa wanita itu didatangi, bukan mendatangi.
Hawa
bangkit dari tempat duduknya, menggeser surut beberapa langkah. Ia
sedar bahawa walaupun dirinya diperuntukkan bagi Adam a.s, namunlah
haruslah mempunyai syarat-syarat tertentu. Di dalam sanubarinya, ia tak
dapat menyangkal bahawa iapun terpesona dan tertarik kepada rupa Adam
a.s yang sungguh indah.
Adam a.s tidak putus asa. Ia tahu itu
bukan dosa. Ia tahu membaca isi hati. Ia tahu bukannya Hawa menolak,
tetapi menghindarnya itu memanglah suatu perbuatan wajar dari sikap malu
seorang gadis yang berbudi. Ia tahu bahawa di balik malu terselit rasa
mahu. Kerananya ia yakin pada dirinya bahawa Hawa diperuntukkan baginya.
Naluri insaninya bergelora.
Tatkala sudah dekat ia pada Hawa
serta hendak mengulurkan tangan sucinya kepadanya, maka tiba-tiba
terdengarlah panggilan ghaib berseru:
Hai Adam….tahanlah dirimu. Pergaulanmu dengan Hawa tidak halal kecuali dengan mahar dan menikah!.
Adam a.s tertegun, balik ke tempatnya dengan taat. Hawa pun mendengar teguran itu dan hatinya tenteram.
Kedua-dua manusia syurga itu sama terdiam seolah-olah menunggu perintah.
Perkahwinan Adam dan Hawa
Allah
SWT. Yang Maha Pengasih untuk menyempurnakan nikmatnya lahir dan batin
kepada kedua hamba-Nya yang saling memerlukan itu, segera memerintahkan
gadis-gadis bidadari penghuni syurga untuk menghiasi dan menghibur
mempelai perempuan itu serta membawakan kepadanya hantaran-hantaran
berupa perhiasan-perhiasan syurga. Sementara itu diperintahkan pula
kepada malaikat langit untuk berkumpul bersama-sama di bawah pohon
Syajarah Thuba, menjadi saksi atas pernikahan Adam dan Hawa.
Diriwayatkan
bahawa pada akad pernikahan itu Allah SWT. berfirman: Segala puji
adalah kepunyaan-Ku, segala kebesaran adalah pakaian-Ku, segala
kemegahan adalah hiasan-Ku dan segala makhluk adalah hamba-Ku dan di
bawah kekuasaan-Ku. Menjadi saksilah kamu hai para malaikat dan para
penghuni langit dan syurga bahawa Aku menikahkan Hawa dengan Adam, kedua
ciptaan-Ku dengan mahar, dan hendaklah keduanya bertahlil dan bertahmid
kepada-Ku!.
Malaikat dan para bidadari berdatangan
Setelah
akad nikah selesai berdatanganlah para malaikat dan para bidadari
menyebarkan mutiara-mutiara yaqut dan intan-intan permata kemilau kepada
kedua pengantin agung tersebut. Selesai upacara akad, dihantarlah Adam
a.s mendapatkan isterinya di istana megah yang akan mereka diami.
Hawa menuntut haknya. Hak yang disyariatkan Tuhan sejak semula.
Mana mahar? tanyanya. Ia menolak persentuhan sebelum mahar pemberian ditunaikan dahulu.
Adam
a.s bingung seketika. Lalu sedar bahawa untuk menerima haruslah sedia
memberi. Ia insaf bahawa yang demikian itu haruslah menjadi kaedah
pertama dalam pergaulan hidup.
Sekarang ia sudah mempunyai kawan.
Antara sesama kawan harus ada saling memberi dan saling menerima.
Pemberian pertama pada pernikahan untuk menerima kehalalan ialah mahar.
Oleh kerananya Adam a.s menyedari bahawa tuntutan Hawa untuk menerima
mahar adalah benar.
Mahar perkahwinan Adam
Pergaulan hidup
adalah persahabatan! Dan pergaulan antara lelaki dengan wanita akan
berubah menjadi perkahwinan apabila disertai dengan mahar. Dan kini
apakah bentuk mahar yang harus diberikan?
Itulah yang sedang difikirkan Adam.
Untuk
keluar dari keraguan, Adam a.s berseru: Ilahi, Rabbi! Apakah gerangan
yang akan kuberikan kepadanya? Emaskah, intankah, perak atau permata?.
Bukan! kata Tuhan.
Apakah hamba akan berpuasa atau solat atau bertasbih untuk-Mu sebagai maharnya? tanya Adam a.s dengan penuh pengharapan.
Bukan! tegas suara Ghaib.
Adam diam, mententeramkan jiwanya. Kemudian bermohon dengan tekun: Kalau begitu tunjukilah hamba-Mu jalan keluar!.
Allah
SWT. berfirman: Mahar Hawa ialah selawat sepuluh kali atas Nabi-Ku,
Nabi yang bakal Kubangkit yang membawa pernyataan dari sifat-sifat- Ku:
Muhammad, cincin permata dari para anbiya dan penutup serta penghulu
segala Rasul. Ucapkanlah sepuluh kali!. Adam a.s merasa lega. Ia
mengucapkan sepuluh kali salawat ke atas Nabi Muhammad SAW. sebagai
mahar kepada isterinya. Suatu mahar yang bernilai spiritual, kerana Nabi
Muhammad SAW adalah rahmatan lil alamin (rahmat bagi seluruh alam).
Hawa mendengarkannya dan menerimanya sebagai mahar.
Hai Adam, kini Aku halalkan Hawa bagimu, perintah Allah, dan dapatlah ia sebagai isterimu!.
Adam
a.s bersyukur lalu memasuki isterinya dengan ucapan salam. Hawa
menyambutnya dengan segala keterbukaan dan cinta kasih yang seimbang.
Allah
SWT. berfirman kepada mereka: Hai Adam, diamlah engkau bersama isterimu
di dalam syurga dan makanlah (serta nikmatilah) apa saja yang kamu
berdua ingini, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini kerana
(apabila mendekatinya) kamu berdua akan menjadi zalim.
(Al-Araaf: 19).
Dengan
pernikahan ini Adam a.s tidak lagi merasa kesepian di dalam syurga.
Inilah percintaan dan pernikahan yang pertama dalam sejarah ummat
manusia, dan berlangsung di dalam syurga yang penuh kenikmatan. Iaitu
sebuah pernikahan agung yang dihadiri oleh para bidadari, jin dan
disaksikan oleh para malaikat.
Peristiwa pernikahan Adam dan Hawa
terjadi pada hari Jumaat. Entah berapa lama keduanya berdiam di syurga,
hanya Allah SWT yang tahu. Lalu keduanya diperintahkan turun ke bumi.
Turun ke bumi untuk menyebar luaskan keturunan yang akan mengabdi kepada
Allah SWT dengan janji bahawa syurga itu tetap tersedia di hari
kemudian bagi hamba-hamba yang beriman dan beramal soleh.
Firman
Allah SWT.: Kami berfirman: Turunlah kamu dari syurga itu. Kemudian jika
datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti
petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula)
mereka bersedih hati.
(Al-Baqarah: 38)
simak juga kisah cinta yang lainya …
sumber : http://berita-harian-online.com/
Tidak ada komentar:
Posting Komentar